Sinopsis (Cerpen Tingkatan 4)

Cerpen Jaket Kulit Kijang dari Istanbul : Sinopsis (Cerpen Tingkatan 4)

Sinopsis

Penulis, iaitu seorang wanita yang memperkenalkan dirinya sebagai Mas. Dengan hanya berbekalkan wang sebanyak USD400 (RM1 800), dia telah mengikuti rombongan Passage Tours and Travel ke Istanbul, Turki. Penulis telah membuat senarai cenderamata yang ingin dibelinya untuk dibawa pulang ke tanah air sebagai ole-ole. Wang sebanyak itu akan digunakan secara berhemat ketika berada di negara orang.

Kisah ini terjadi apabila Mas bersama-sama Kak Chah, Dr. Liza, Shahmeem, Hajah Zalehon, dan Hajah Normah berkunjung ke Grand Bazaar yang terletak tidak jauh dari hotel penginapannya. Grand Bazaar ialah sebuah pusat beli-belah yang mempunyai lebih 6  000 buah kedai. Sebelum itu, penulis telah dinasihati oleh seorang pemandu pelancong yang bernama Encik Yuksel tentang perkara-perkara yang perlu diberikan perhatian bagi mengelakkan penipuan oleh para peniaga. Ketika berkunjung ke kedai-kedai tersebut, penulis disapa oleh pekedai berbangsa Turki dari sebuah kedai yang menjual jaket kulit. Pekedai itu meminta penulis mencuba sehelai jaket kulit yang berkualiti tinggi yang diperbuat daripada kulit kijang. Pekedai itu menawarkan potongan harga yang rendah. Pekedai itu cuba sedaya upaya memujuk penulis untuk membeli jaket tersebut. Desakan lelaki itu semacam memerangkap dan memaksa penulis untuk membelinya.

Mas telah menolak secara sopan untuk membeli jaket yang dicubanya itu disebabkan jaket itu bukan dalam senarai barang yang ingin dibelinya. Rupa-rupanya tindakan itu telah menimbulkan rasa kurang senang pekedai itu. Dia menuduh penulis sebagai wanita Muslim yang tidak baik kerana membuang masanya. Layanan yang agak kasar itu membuatkan penulis berasa kurang selesa. Penulis akhirnya teringat akan pesanan pemandu pelancong sebelum ini agar berhati-hati ketika berurusan dengan peniaga di Istanbul.

Mas gemar membaca. Dia sempat membaca puisi yang ditulis oleh Mevlana Celaleddin Ar-Rumi berdasarkan buku yang dibelinya semasa melawat ke makam Mevlana Celaleddin Ar-Rumi di Konya. Puisi yang ditulis oleh Mevlana Celaleddin banyak membicarakan kasih sayang sesama insan. Hal ini amat bertentangan dengan sikap yang ditunjukkan oleh lelaki peniaga Turki itu.

Seterusnya, Mas mengisahkan pula perjalanannya pada hari keenam di Istanbul. Kesusahan yang dialami oleh wanita tua, penjual makanan burung menyentuh perasaannya. Selain itu, kisah seorang budak lelaki yang cuba menjual barangan di pasaran gelap diceritakan juga oleh penulis. Budak lelaki itu bukan sahaja ditangkap tetapi dilayan tanpa ada rasa kemanusiaan oleh pihak polis. Layanan kasar ini juga menyebabkan penulis teringat akan puisi tulisan Mevlana Celaleddin Ar-Rumi yang banyak menceritakan perihal kemanusiaan.

Rakan penulis yang bernama Shahmeem akhirnya membeli sehelai jaket daripada seorang lelaki tua yang menjualnya di pasaran gelap ketika mereka beratur untuk menaiki feri menyeberangi Selat Bhosporus. Harga yang ditawarkan ialah USD120 jauh lebih murah daripada harga di bazaar. Oleh sebab jaket kulit itu tidak sepadan dengan Shahmeem, dia menjualnya kepada penulis. Penulis tidak nampak rasionalnya dia membeli jaket itu untuk kegunaan di Malaysia yang beriklim panas. Mas akhirnya terbeli jaket kulit kijang meskipun dia langsung tidak berniat untuk membelinya pada mulanya.

Mas berpendapat bahawa jaket kulit kijang itu sebenarnya lambang kemewahan dan kemegahan. Hal ini dikatakan demikian kerana lebih seekor kijang perlu dibunuh untuk mendapatkan sehelai jaket. Dalam pada itu, ingatan penulis tertumpu pada hasil penulisan tinggalan Nasreddin Hodja, iaitu tokoh pendidik yang berjiwa humoris dan mengamalkan cara hidup sederhana. Beliau tidak suka akan pembaziran dan kemewahan.

Shahmeem gembira kerana Mas sudi membeli jaket kulit itu walaupun harga yang dijualnya jauh lebih murah daripada harga asal. Mas berhasrat untuk menjual jaket itu di kedai pakaian terpakai apabila pulang ke Malaysia nanti. Penulis bercadang untuk mendermakan wang jualan jaket itu kepada mana-mana zoo yang ada kandang kijang. Hal ini sebagai tanda muhibah terhadap kijang-kijang yang telah dibunuh demi gaya hidup manusia yang penuh kemodenan. Sesungguhnya, Mas lebih suka hidup bersederhana.

Leave a comment